Khamis, 8 Oktober 2009

Sahabatku Khatijah

“Dayah kenalkan.. Khatijah.. dan Khatijah, ini Hidayah.. seorang saudara kita juga”.. begitulah titik pertemuan saya dgn seorang sahabat bernama Khatijah.  Dia berbangsa bidayuh.  Kami diperkenalkan oleh seorang Ustazah.  Masa itu saya masih aktif lagi mengikuti aktiviti keagamaan, mungkin disebabkan saya baru lagi dalam Islam jadi ustazah Rogayah bertanggungjawab untuk memastikan saya sentiasa mendapat ilmu dan pengetahuan tentang agama.  Apa jua aktiviti dia tak pernah lupa pada saya.  Syukur Alhamdulillah kerana dipertemukan dengan insan sebaik dia.  Berbalik pada cerita si Khatijah tadi.

Menurut cerita Ustazah Rogayah, dia sudah khatam Al-Quran dan juga turut menolong kakak angkatnya yang juga ustazah iaitu Ustazah Siti dan juga teman serumahnya Ustazah Wan untuk mengajar budak-budak mengaji di rumah mereka.  Khatijah tinggal bersama ustazah tersebut sejak dia masuk Islam.  Dan keluarga dia tak pernah tau dia masuk Islam.  Tertarik juga saya mendengar cerita dari ustazah Rogayah.  Dia masuk Islam sejak dia di tingkatan 3 lagi dan selama itu dia menyembunyikan keislaman dia dari keluarga dia, sepanjang dia bersekolah, pertubuhan Islam yang menaja persekolahan dia termasuk di beri wang saku.  Teringin untuk mengenali dia dengan lebih dekat, kerana itu pada ramadhan 2002 saya meminta izin dari Ustzh Siti & Wan untuk tinggal bersama mereka.  Selain dapat belajar mengaji dapat juga saya belajar berpuasa dan sembahyang terawih bersama mereka.  Alhamdulillah, mereka sudi menerima saya dengan tangan terbuka lagi.  Seronok rasanya.  Lebih-lebih lagi ada seorang lagi saudara kita iaitu Aisyah tinggal bersama.  Aisyah berbangsa Iban Kenyah dan dulu merupakan penganut agama SDA sebelum memeluk Islam.  Aisyah juga merupakan rakan sekerja saya dan yang menemani dia saat dia memeluk Islam adalah saya dan juga Ustazah Rogayah.  Kami berdua memang rapat kecuali dengan Khatijah.  Mungkin sebab masih baru mengenali dia. 

Seronok rasanya bila dapat berpuasa dan sembahyang terawih bersama Ustazah Siti dan Wan.  Semua nya begitu teratur.  Memang mereka memastikan setiap hari saya tinggal disana sentiasa ada aktiviti yang  mendedahkan saya lebih kepada Islam.  Di saat penghujung Ramadhan, Ustazah Siti dan Ustazah Wan balik kampung untuk bercuti raya jadi tinggallah kami tiga orang.  Ya Allah, disinilah baru saya kenal siapa sebenarnya Khatijah.  Bila ketiadaan Ustazah.. dia mula abaikan amalan dia.  Dia tak mengikuti kami sembahyang terawih, apalagi puasa.  Sewaktu ustazah belum balik kampung dia sangat rajin, memasak untuk makanan berbuka.  Dan kalau kami balik awal kami akan tolong dia sekali.  Tapi sekarang, dia tak memasak.  Yang dia tahu adalah tidur.  Malamnya dia keluar, bila saya bertanya, dia selalu cakap nak jumpa abang dia. Perangai dia berterusan dan menyedihkan tiap kali keluar rumah, dia mesti berpakaian yang terdedah.  Sedangkan apa yang saya tahu dia seorang yang berpakaian menutup aurat.  Jubah dan tudung labuh adalah pakaian harian dia.  Kadangkala terdetik di hati saya.. adakah hanya kerana dia ingin mendapatkan bantuan duit sebab tu dia berpura-pura selama ini.. na’uzubillah …minta dijauhkan fikiran saya dari berfikir yang bukan-bukan. 

Semakin hari saya rasa semakin membenci dia, saya cuba menegur tapi dia cuma menjawab jaga urusan diri sendiri.  Tak lama lagi ustazah akan balik.  Saya jadi serba salah.  Dan betullah.  Setelah ustazah balik dari bercuti, dia kembali menjadi Khatijah.  Baik, alim , rajin. .Ya Allah.. berdosakan saya mengatakan perihal dia.  Tapi tujuan saya bercerita untuk dijadikan iktibar.  Khatijah, dia sangat pandai mengaburi mata ustazah sehingga mereka langsung tak dapat mengesan siapa dia sebenarnya.  Saya pula yang tak tahan tinggal disana.  Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpindah balik rumah makcik saya.  biarpun makcik saya bukan islam tapi saya lebih rela daripada saya melihat kemunafikan Khatijah.  Selepas peristiwa itu saya jarang untuk menjenguk mereka.  Lagipun saya sibuk dengan kerja.  Jadi aktiviti agama saya semakin berkurang.  Projek yang semakin banyak di terima syarikat menyebabkan beban kerja saya meningkat.  Akhirnya saya meminta maaf kepada ustazah kerana tidak dapat mengikuti aktiviti agama lagi.  Tak lama lagi akan menjelang Tahun Baru Cina. (2003).  Saya tahu saya akan semakin sibuk.  Lebih-lebih lagi rakan sekerja saya berbangsa cina, Siew nama nya.  Mestilah Siew nak cuti awalkan.  Sempat juga saya mengusik dia supaya kalau saya pergi rumah terbuka dia nanti, sediakan makanan banyak2 dan halal untuk saya.  dia mengatakan “jangan risau dayah, awal2 dah saya beli khas untuk awak”.  Janji kami, saya akan pergi rumah dia pada Hari Raya Cina pertama. Sebab Hari Raya Cina kedua saya dah kerja dah.

Tahun Baru Cina 2003.. malam tu memang berdentum bunyi mercun.  Biasalah sebelum perayaan Tahun Baru Cina memang macam tu.  Saya tau kawan saya pasti enjoy.. huhu..  besoknya, saya tunggu panggilan telefon dia sebab dia berjanji akan menjemput saya nanti kerumah dia.  Sampai ke petang Siew tak telefon.  Mungkin dia terlupa atau sibuk sebab mesej saya pun dia tak balas.  Seusai solat Isyak, saya terima panggilan telefon dari Ustazah Rogayah.  “Dayah, tau tak no. telefon keluarga Khatijah”.  Itulah pertanyaan dia.  Saya cuma mengatakan yang dia pernah keluar dengan abang dia cuma saya tak tahu no. telefon abang dia.  “Dayah tau tak Khatijah accident.. malam semalam selepas sambut tahun baru cina.. Allah sayangkan dia Dayah”… Ya Allah, mengigil tubuh saya mendengar kata Ustazah tadi.   Tak lama selepas itu, telefon saya berbunyi lagi… “ Dayah, Siew accident.. dia koma”… terus saya terduduk .. Mula-mula Khatijah, kemudian Siew.  Saya cuba kuatkan diri bertanya kepada sahabat saya dan Ustazah.  Nak pergi jenguk mereka kat hospital saya pula tak de transport malam2 begini.  Rupanya mereka dalam satu kereta.  Kecil nya dunia.. Khatijah tanpa saya sedari juga berkawan dengan Siew.  Dan abang yang  dia katakan sebelum ini adalah kawan Siew juga merupakan teman lelaki dia.  Dan membuatkan saya mengucap panjang, Khatijah meninggal terus ditempat kejadian setelah terpelanting pada pokok besar di tepi jalan, dan dia mati dalam keadaan mabuk.  Maksud saya, dia lepas minum arak.  Ya Allah.  Dekat dunia dah Allah tunjukkan balasan.  Yang menyedihkan saya, sewaktu tuntutan mayat, berlaku perebutan antara kakak angkat dia dengan keluarga Si Khatijah.  Keluarga dia berkeras untuk menguruskan mayat dia, tapi kakak angkat dia ingin menguruskan mayat dia secara Islam.  Keluarga dia mengatakan anak dia bukan Islam.  Akhirnya Ustazah Siti mengalah dan terpaksa membiarkan mayat dia diuruskan oleh keluarga dia.  Mungkin ada kesilapan juga di situ kerana tidak mendaftarkan yang Khatijah sudah beragama Islam.  Peristiwa itu menyebabkan saya berfikir panjang.  Apa yang akan berlaku kepada arwah di sana nanti.  Adakah ada keampunan untuk dia.  Dan tidak seorang pun tau saat dia meninggal adakah dia masih Islam atau dah keluar dari Islam.  Ya Allah.. saya tahu saya bukanlah hamba Mu yang baik, tapi elakkan perkara yang berlaku pada Khatijah berlaku ke atas saya.  Saya akui saya masih lemah lagi tapi Engkau bantulah hamba Mu ini ya Allah… kepada pembaca semua, bukan niatku untuk membuka aib arwah, tapi sekadar ingin memberi pengajaran dan menyedarkan saya dan juga pembaca.  Jangan terlalu terbuai dengan permainan duniawi kerana semuanya bersifat sementara  Dan kepada orang yang berkaitan secara langsung dan tak dengan cerita ini saya memohon maaf.  Kadangkala peristiwa ini menganggu saya kerana saya pun bukan lah seorang insan yang baik.  Ya Allah kutahu keampunan Mu tidak bertepi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan