Untuk menjadi seorang muslim, tidak cukup kita sekadar percaya sahaja. Ini adalah kerana Islam terdiri daripada aqidah, syari’at dan akhlak atau dengan kata lain kepercayaan dan amalan (tanggungjawab). Kepercayaan tanpa amal disebut fasiq. Tempat orang fasiq di akhirat nanti adalah neraka. Sehubungan dengan ini Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Sajadah ayat 20 yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang fasiq itu tempatnya di neraka”
Sebaliknya, beramal tanpa didasarkan pada kepercayaan dinamakan munafiq (orang yang berpura-pura). Orang munafiq juga tempatnya di dalam neraka. Kenyataan ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang yang munafiq itu tempatnya di neraka yang paling bawah..”
(Surah An-Nisa ayat 145)
Percaya dan amal, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya mesti dilakukan serentak oleh setiap orang Islam. Oleh sebab itu setiap orang yang mengaku dirinya muslim hendaklah :
a. Mempercayai perkara-perkara yang mesti dipercayainya. Asas kepercayaan ini ialah Rukun Iman.
b. Mengamalkan segala suruhan syari’at sama ada dengan melakukan perkara yang diwajibkan atau meninggalkan perkara yang dilarang.
c. Berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menjauhkan diri daripada amalan yang buruk.
Inilah tugas setiap muslim setelah dia mengucapkan dua kahlimah syahadah di samping tugas untuk sama-sama menyebarkan agama Islam yang suci ini kepada orang lain.
Kesimpulan.
Kefahaman terhadapa agama Islam amat perlu diberikan perhatian kerana melalui kefahaman inilah akan membantu kita untuk menjadi seorang muslim dan muslimah yang sejati. Jika kita tidak mengambil berat tentang agama yang kita anuti tentu sia-sialah kehidupan kita selama ini. Sedangkan kita merupakan antara makhluk yang paling istimewa dijadikan oleh Tuhan Pencipta seluruh alam ini, kenapa tidak dimanfaatkan dengan jalan yang betul.
[Petikan dari : Asas Kefahaman Islam (Terbitan Jabatan Agama Islam Sarawak.)]

Tiada ulasan:
Catat Ulasan