
Assalammu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh
Kerana terlalu banyak rakan-rakan saya ingin mengetahui kenapa saya boleh tertarik dengan Islam, jadi terdetik di hati saya untuk menulis di blog ini. Sebelum ini saya cuma menjawab kerana hidayah. Memang betul pun kan, tapi ada di antara kawan saya ingin mengetahui secara terperinci.
‘Hidayah itu datangnya dari Allah s.w.t” tanpa diketahui dan diduga. Sebenarnya saya sendiri tidak pernah menduga akan tertarik dengan agama Islam dan memeluk Islam. Dulu saya adalah seorang penganut Kristian (Roman Catholic). Semua adik beradik dan mak adalah penganut Kristian kecuali bapa saya tidak mempunyai agama. Tetapi yang membezakan saya dengan mereka adalah saya tidak pernah dibaptiskan. Saya sendiri yang tak nak. Selalu juga mak suruh saya baptis tapi saya tak nak. Tak tahu kenapa. Masa itu saya belum terfikir pun pasal agama Islam ini. Sepupu saya pun beragama Islam juga. Saya ingat lagi, zaman kanak-kanak saya selalu ikut merekake kelas agama. Saya ikut sebab mereka tu juga lah teman sepermainan saya. kalau mereka pergi kelas tak delah teman saya bermain.
Ketika saya menginjak ke tingkatan 2 (peristiwa ini memang segar di ingatan saya), bukan tak pernah sebelum ini guru berhenti mengajar untuk menghormati azan. Tapi petang itu, ketika kelas bahasa melayu (saya waktu tu belajar sesi petang), terdengar bunyi azan dari surau sekolah. Seperti biasa kelas akan senyap sekejap. Dalam keadaan senyap itu, hati saya terasa berdebar-debar. Biarpun saya tak faham maksudnya tapi saya terasa sayu. Sejak itu saya mula tertarik untuk mengenali Islam. Saya mula membaca buku-buku berkaitan Islam di perpustakaan sekolah. Saya lakukan secara senyap sehingga seorang pun rakan saya tak tahu. Kami memang pergi perpustakaan beramai-ramai, buku rujukan tebal di tepi tapi sempat juga saya selitkan buku-buku berkaitan Islam. Perasaan itu semakin menebal. Apa sahaja berkaitan Islam memang akan mengamit perasaan saya. Sikap ingin mengetahui begitu menebal. Setiap pagi saya akan mendengar ceramah-ceramah berkaitan agama di radio Sarawak. Mak saya memang tak kisah sebab dah setiap pagi itulah yang disiarkan di Radio Sarawak. Sebelum ni pun dengar juga tapi tak tumpukan sangat. Tapi bila perasaan dah minat tu ada, saya mendengar sambil menghayati.
Saya tahu dalam Islam tu daging babi adalah haram. Jadi sedaya upaya saya elakkan makan daging tu. Sewaktu dalam tingkatan 3 saya mula lakukan perubahan. Dulu daging tu menjadi kegemaran saya, gerenti licin sebab sedap kan. Tapi sejak hati terpaut dengan Islam, saya kurangkan. Bukan itu sahaja, di tingkatan 3 juga saya kurangkan pergi Church. Ntah, jiwa saya tak de di situ pun sekalipun saya pergi. Hati saya semakin memberontak. Masuk tingkatan 4 saya bertekad untuk tidak menyentuh daging tu lagi. Sekalipun saya terpaksa makan, cukuplah daging yang dalam tin tu. Mak mula perasan dan bertanya. Saya cuma menjawab babi tu banyak sangat bawa penyakit. Kemudian bila mak bertanya kenapa saya tak pergi church, saya jawab saya tak suka sebab selalu sangat menyanyi. Cukuplah saya sembahyang di rumah je. Saya tahu mak saya tak puas hati dengan jawapan saya.
Saya dapat melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6, tapi sayang keputusan STPM saya tak seberapa. Mungkin sebab sikap saya sendiri kot, malas ke kelas. Saya kerap ponteng cuma nasib baik jer tak kena tindakan displin. Waktu di tingkatan 6 saya mempunyai adik angkat. Nama dia Dewi. Saya membuat rancangan dengan dia untuk pergi ke Kapit selepas habis STPM kerana pakcik Dewi adalah Ustaz disana. Selain dapat mencari kerja dapat juga saya belajar agama. Tapi sayang perbualan saya dengan Dewi didengar oleh Mak. Keesokkan harinya saya terus dihantar ke Bintulu untuk tinggal dengan kakak saya. Saya terpaksa ikut kerana waktu tu saya masih dalam tangungan mereka. Yelah umur saya waktu tu baru je 19 tahun. Sekalipun saya tinggal dengan kakak saya tak pernah memadamkan hasrat saya untuk memeluk Islam. Di Bintulu, saya bekerja di kedai peralatan dapur. Di situ saya ada rakan sekerja muslim. Saya cuba meminjam buku dari dia dan dia berikan buku berjudul Fardhu Ain. Tak puas hati dengan meminjam buku orang, dapat gaji je saya terus beli buku sendiri. Saya ingat lagi judul buku tersebut “Apa ertinya saya menganut Islam” tulisan Fathi Yakan. Buku tu selalu saya simpan di bawah bantal tidur saya supaya abang saya tak perasan. Tapi lama-lama dia tahu juga. Dia diam jer tapi dalam diam dia, dia cakap dengan mak saya. apalagi, teruk jugalah kena ceramah.
Saya tak lama bekerja di kedai houseware tu kerana saya berhenti kerja dan meminta kerja di syarikat bas sebagai jurujual tiket. Kat tempat kerja saya baru ni memang banyak kawan muslim. Tapi bila saya ceritakan saya meminati Islam (dalam hati saya waktu tu dengan harapan mereka dapat menolong), mereka cuma mengatakan pada saya “Bagus tu masuk Islam,” Sebenarnya bukan tu yang saya nak. Saya nak mereka membimbing dan memberi semangat kepada saya. Ada juga kawan saya yang rajin bercerita tentang agama dengan saya, tapi dalam masa yang sama dia pun kuat minum, makan pil dan selalu mabuk. Bila saya melihat keadaan tu, macam mana saya nak terima. Dia cakap pasal dosa, halal dan haram tapi dia sendiri buat benda tu.
Ramadhan menjelang dan tiba masanya umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke 3. Saya pun turut berpuasa. tapi tak delah penuh. Setengah hari jer. Saya tak tahan sebenarnya. Tapi Alhamdulillah, lama-lama saya dapat juga berpuasa penuh. Dalam pada itu saya lupa akan abang dan kakak saya yang mula tak senang duduk apabila melihat saya berpuasa. segera hal ini diberitahu kepada mak saya. Sekali lagi saya kena ceramah. Lagi teruklah kali ini, sehingga saya menangis. Pedih je rasa hati. Tapi saya kuatkan hati. Saat ini saya memang seorang. Saya tak de rakan muslim yang rapat yang dapat menolong saya. ada rakan muslim saya sama kerja, tapi tu lah seperti yang saya katakan tadi mereka cuma tahu mengatakan Islam itu bagus. Untuk mempraktikan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka memang susah untuk dilihat. Saat itu saya betul-betul perlukan sokongan. Lebih-lebih lagi saya didesak oleh keluarga saya sendiri yang mula tak senang duduk apabila tau saya berpuasa.
Allah Maha Besar. Ketika saya berperang dengan emosi, saya ditakdirkan berjumpa dengan seorang lelaki Indonesia. Dia mula menegur saya. dan saya masih ingat lagi, mustahil untuk saya lupa peristiwa tu.
‘Assalammu’alaikum, baca apa tu?”. Tegur dia. Ketika itu saya tengah membaca buku ‘Apa ertinya saya menganut Islam”. Saya tersenyum dan menjawab. “Maaf, saya bukan muslim”. Sambil itu saya ajukan buku yang saya baca kepada dia. Dia belek-belek sambil tersenyum. Kemudian dia hulur balik buku tu dan berkata “Owh”. Cuma itu yang dia katakan. Beberapa minit kemudian dia datang lagi dan bertanya “Awak minat Islam” saya mengangguk. Kemudian dia mengajak saya duduk di kerusi tempat penumpang menunggu. Saya ikut je sebab kebetulan penumpang tak ramai waktu tu.
“Kalau awak minat Islam, kenapa tak teruskan. Sekarang bulan ramadhan. Ambil keberkatan bulan ini. Insya Allah saya boleh bantu.” Saya terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut orang yang baru saya kenal. Sedangkan rakan-rakan saya sendiri tak pernah beri sokongan seperti itu kepada saya.
“Nama saya Didik Zulferdy. Awak boleh jadi adik angkat saya. Saya dah berkahwin dan mempunyai anak. Saya ikhlas nak bantu awak. Ayah saya guru agama tempat saya di sana.” Saya mendengar jer kata dia.
“Saya tak lama lagi di Malaysia, 3 hari lagi saya akan balik Indonesia. Sementara masih ada kesempatan ini, saya boleh ajar awak sikit-sikit”. Mendengar kata tersebut saya terus memandang muka dia. Terpancar keikhlasan di muka tersebut. Dia mengangguk dan tersenyum. Ya Allah, betapa terharunya saya saat itu. orang yang baru saya kenal tak sampai sejam pun memberi sokongan kepada saya. betapa cintanya dia pada Islam kerana berusaha untuk mengajar saya biarpun dalam tempoh yang singkat. Sedangkan orang yang berada di tepi saya mempunyai waktu yang banyak tapi cuma pandai mengatakan “Islam itu bagus”. Biarpun tak selalu dapat jumpa, sebab kadangkala saya sibuk juga, tapi dia bersabar menunggu. Asalkan ada waktu terluang je, kami akan berbincang pasal agama. Sekurang-kurang nya saya tahu pasal rukun Islam, rukun Iman dan juga sedikit tentang halal dan haram dalam Islam. Rupanya banyak lagi yang saya tak tahu terutamanya berkaitan Fardhu ain. Kemudian dia mengajarku mengucapkah kahlimah syahadah. Penting untuk masuk Islam nanti kata nya. Berkali-kali juga saya belajar menyebut akhirnya dapat. Sebelum dia balik Indonesia dia mengingatkan saya sekali lagi. “ Kalau awak betul-betul minat Islam. Teruskan niat awak tu. Jangan takut Allah akan bersama awak. Sekarang ni bulan ramadhan. Ambil keberkatan bulan ini. Jangan lengahkan. Insya Allah, bila saya balik Indonesia nanti, saya akan titipkan buku agama untuk awak. Sebab lepas raya nanti ada kawan saya yang akan ke Sarawak. Nanti saya suruh dia jumpa awak.”
Sebenarnya saya sangat terharu dan bersyukur ditemukan dengan Didik Zulferdy biarpun cuma untuk 3 hari. Dia menyebabkan semangat saya untuk memeluk Islam kian kuat. Malam itu juga saya bertekad untuk memeluk Islam dalam bulan tu juga. Saya memohon cuti dari majikan untuk balik kampung. Majikan benarkan saya balik selama 2 hari jer. Saya balik sebab nak mohon restu dari mak saya. Lamanya menanti hari esok. Penantian – coretan yang saya tulis ketika itu). 19hb saya balik kampung. Saya tau mak pun dah tau niat saya. Biarpun dia dah tau saya tetap kata kan pada dia sekali lagi. Sepatah kata pun tak keluar dari mulut dia. Saya kecewa. Saya tahu dia marah dan kecewa. Ibu manalah tak marah kalau anak dia berpaling agama. Saya dah hilang cara untuk memujuk mak. Saya menulis surat untuk mak. Saya suruh dia baca sebab saya dah tekad dah dalam hati. Selepas baca pun dia masih diam. Pendek kata, sepatah pun dia tak bercakap pasal keinginan saya tu. Dia cuma cakap dengan saya pasal hal lain. Saya kecewa. Apa yang saya harapkan tak dapat. Cuti saya pula dah abis dan besok saya terpaksa balik ke bintulu lagi.
20 November 2001, sewaktu saya nak naik bas. Tiba-tiba” Na, mak izinkan kau masuk Islam, tapi ingat, mak tak akan sekali-kali restukan”. Saya sangat terkejut. Saya tak kisah dia restu ke tak, yang penting dia izinkan. Jika dia izinkan, halangan 2 orang yang dekat bintulu tu (abang dan kakak saya) dapat saya lepasi. Sebab jika mak dah izinkan, mereka tak dapat berbuat apa-apa. Terima kasih Mak. Saya tahu dia kecewa, sedih dan marah. Tapi saya memang anak dia yang degil. Jika dia tak izinkan pun saya dah bersedia sebab saya dah bertekad akan berdepan dengan apa jua yang mendatang. Sepanjang perjalanan ke bintulu, saya menangis sendirian, kadangkala saya ketawa kecil.. kadangkala tersenyum. Jika ada penumpang kat tepi saya pasti saya dianggap sewel waktu tu. Sampai je kat Bintulu saya cakap dengan kakak dan abang saya yang saya akan masuk Islam besok. Saya juga cakap dengan mereka yang mak dah izinkan. Kakak saya terdiam. Abang saya pun sama. Abang ipar saya mengingatkan saya “Fikir masak-masak. Jangan ikut perasaan”. Saya diam jer. Kerana saya tahu saya pilih jalan yang betul. Saya teringat dengan abang angkat saya, Didik. Saya menangis sekali lagi. Kalau lah dia ada waktu ini untuk berkongsi kegembiraan dengan saya.
Nak tak nak, besok paginya abang ipar saya hantar saya gi Pejabat Agama Islam. Itu pun dia tak hantar depan pejabat, dia hantar tepi jalan jer. Berjalan kakilah saya masuk situ. Tak pe lah. Saya pun faham mereka kurang senang dengan tindakan saya. Sebenarnya saya tak tahu apa-apa prosedur pun nak masuk Islam. Cuma saya bawa gambar berukuran passport. Tu pun kakak saya yang suruh. (dalam tak setuju dia, nak juga tolong). Saya pergi seorang jer dan membuatkan pegawai dan kerani di situ terkejut. Saya tak buat temujanji pun dulu. Dah lah tu saya tak bawa saksi seorang dan juga tak bertudung. Ya Allah, memang saya tak tahu apa-apapun sebab apa yang saya buat ni datang secara mendadak. Rupanya perlu ada seorang saksi beragama Islam. Pegawai tersebut, ustaz Shamsudin Bin Bashirmengatakan tak apa sebab ada pegawai yang lain dapat dijadikan saksi. Di depan Ustaz Shamsudin Bin Bashir dan disaksikan seorang pegawai.. “Asyhadu alla Ilaaha Illallah wa Asyhadu anna muhammadur Rasulullah” saya ucapkan. Syukur Alhamdulillah. Sebutan pun lancar. Terima kasih Didik kerana mengajar saya. Terasa ingin menangis tapi perasaan sebak terpaksa saya tahan. Saya tak biasa menangis depan orang. Tanggal 21 November 2001 saya sah memeluk Islam. Bermula kehidupan saya sebagai seorang saudara Islam yang baru. Saya kira perjalanan saya lebih mudah selepas itu, rupanya semakin sukar. Bukan kita ini manusia jika kita tidak diuji. Setiap yang Dia uji kan pada kita pasti ada hikmah disebaliknya. “Ya Allah, Engkau tabahkan lah diriku dalam meniti kehidupan ini. Aku pernah keliru dalam ku mencari arah kehidupan ini. Aku pernah termakan hasutan syaitan durjana. Bahkan aku pernah membenci kehidupan aku sekarang. Engkau ampunkan aku Ya Allah. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam hatiku.”

Tiada ulasan:
Catat Ulasan