Pada suatu hari Abu Hakam (Abu Jahal) memaki hamun Rasulullah s.a.w dengan sangat teruknya. Perbuatannya yang tidak bertimbang rasa itu telah menyebabkan seorang perempuan yang kebetulan menyaksikannya merasa kasihan dan ingin menyampaikannya kepada Hamzah bin Abdul Muttalib bapa saudara Rasulullah s.a.w. Ketika itu Hamzah yang masih seagama dengan Abu Jahal, sedang berburu. Apabila dia datang, terus pergi ke Ka’bah untuk melakukan tawaf sebagaimana biasa yang dilakukan oleh orang Makkah apabila pulang dari perjalanan jauh. Sesampainya di rumah, tiba-tiba seorang perempuan datang dan membuat laporan : “ Wahai bapa Umarah (gelar Hamzah), apakah tuan melihat apa yang diperbuat oleh Abul Hakam terhadap Muhammad? Dia telah memaki hamun kemudian pergi.”
Sudah tentu Hamzah yang baru saja pulang berpergian jauh sangat marah apabila mendengar anak saudaranya dicaci maki. Walaupun ketika itu dia belum Islam, tetapi tidak rela jika mendengar anak saudaranya dicaci maki.
Dengan tidak menunggu masa lagi, Hamzah terus pergi mencari Abu Jahal untuk diberi pengajaran, dan dijumpainya sedang berada di Masjidil Haram bersama orang ramai. Hamzah terus meluru ke hadapan Abu Jahal sambil mencabut sebatang anak panah lalu dipukulnya pada kepala Abu Jahal dengan kuat sehingga luka dan berdarah. Orang ramai yang menyaksikan adegan itu diam sahaja tidak berani berbuat apa-apa.
‘Apakah benar engkau memaki hamun anak saudaraku?” Tanya Hamzah. Tiba-tiba dia terlanjur berkata : ‘Saya juga berada dalam agamanya. Cuba kamu buat lagi jika berani.”
Beberapa orang lelaki yang ada disitu pada mulanya cuba untuk membela Abu Jahal, tetapi ditegah oleh Abu Jahal sendiri.
‘Jangan ganggu Abu Umarah! Demi Allah, saya telah menyakiti anak saudaranya dengan buruk.” Kata Abu Jahal.
Abu Jahal tidak menghalang Hamzah menghukum dirinya disebabkan dia merasa bersalah, lagipun dia tidak berani menentangnya.
Sebenarnya Hamzah tidak sengaja mengatakan “Saya berada dalam agamanya”. Setelah selesai, barulah dia sedar apa yang diucapkannya. Namun demikian dia tidak pernah mengatakan sesuatu yang tidak baik berkenaan dengan ajaran yang dibawa oleh anak saudaranya itu. dia berfikir mengenai kata-kata yang dikeluarkannya lalu mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Rupanya Allah telah menurunkan hidayah kepada Hamzah untuk menerima Islam. Maka pergilah dia kepada Rasulullah s.a.w untuk menyatakan keislamannya. Dengan masuknya Hamzah orang kuat Quraisy, maka bertambah kuatlah barisan kaum Muslimin yang berdiri di belakang Rasulullah s.a.w.
(Sumber : Kisah-kisah mereka yang masuk Islam dan Bertaubat)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan