Jumaat, 30 Oktober 2009

saat ini

lama juga aku duduk di tepi sungai..sambil menghayati keindahan malam ciptaan Yang Esa sambil tu merenung nasib diri. bila fikir-fikir balik, hati terasa ingin menjerit ke seluruh penghuni alam... "kenapa aku"!!!!!!!..kenapa aku selalu jadi mangsa dalam kehidupan. kadang kala aku dapat melawan resah hati yang melanda kadang kala aku akan menangis mengenang diri yang terlalu hina.
aku yang sebenar berada jauh di dalam hati dia yg skrg ini tgh ketawa riang menikmati kehidupan. aku yang sebenar menangis memikirkan apa yang akan berlaku selepas ini.... aku yang sebenar merintih mendambakan kasih sayang.. aku yang sebenar ingin lari sejauh-jauhnya.. biar ketenangan itu ku perolehi..
aku tak tahu kenapa.. perasaan seperti ini datang kembali.. aku benci!!!!. hari tu aku sudah merasa ketenangan... tapi sekarang.. setiap masa ku cuba mengukuhkan hati ini hanya untuk Maha Pencipta.. tapi aku hanya hambaNya yang lemah.. air mata ini terlalu mudah untuk mengalir saat ini... hati yang tabah ini kian rapuh di dalam... namun tidak sekali ku berpaling dari Mu Ya Allah...
sesungguhnya aku terlalu kerdil disisiMu.. cuma mampu ku mengharapkan keampunan dari MU...

Selasa, 27 Oktober 2009

Perjuangan Yang Belum Selesai

dia mengerti..
suara dia hanyalah bagai angin yang berlalu..
di telinga mereka.. dibiar dan terabai..
bukan dia inginkan perhatian apatah lagi belas kasihan..
tapi dia inginkan mereka..
luangkan sedikit waktu..
dengarlah suara hati dia..
dia menangis..
melihat sahabat dia..
tewas sebelum sampai ke hujungnya..
tewas sebelum berusaha untuk berjuang..
tewas kerana pengabaian..
tewas kerana mengalah...
dia kecewa..
sahabat dia tidak berusaha..
biarpun diabai oleh mereka..
tapi.. berjuanglah untuk diri sendiri..
pertahankanlah akidah..
biar seberat mana ujian..
berjuanglah...
dia tahu..
saat ini..
diri sendiri yang perlu kuat..
diri sendiri yang perlu berusaha..
kerana mereka...
tak mungkin ada waktu itu..
untuk bersama dia..
dan sahabat dia..
dan dia gembira..
seandainya dia dan sahabat dia..
berjuang bersama-sama...
jangan mudah mengalah..
jangan terlalu ikut hasutan syaitan..
berjuanglah biar sampai ke hujung..
mencari kasih abadi..
berjuanglah..pertahankan akidah..
biar berjuta halangan melanda..
berjuanglah..
kerana perjuangan kita belum selesai..

Khamis, 22 Oktober 2009

sajak buatku...

menangislah syg..
jika itu mampu menguraikan...
apa yg tersirat di hatimu..
jika itu mampu menenangkan dirimu...
menangislah syg... 
jika dirimu menderita..
jika dirimu tidak tahan lg...
jika dirimu sendirian menghadapi hidup ini..
menangislah sayang..
ku tahu dirimu sgt lemah skrg..
ku tahu dirimu memerlukan kekuatan...
ku tahu syg.... 
menangislah...
kerana ku faham dirimu syg.... 
kerana ku juga menderita seperti dirimu ...
menangislah...

Sabtu, 17 Oktober 2009

Adab masuk dan keluar di Masjid















1. Masjid adalah rumah Allah yang wajib dihormati dan dipelihara kesucian dan kemuliaannya.    Pergi ke masjid hendaklah dalam keadaan bersih, khusyu' dan rendah diri.  Apabila keluar           rumah menuju ke masjid bacalah :

       
      Ertinya :
      Ya Allah, Jadikanlah dalam  hatiku cahaya, di lidahku cahaya, jadikanlah pada                          pendengaran ku cahaya, jadikanlah pada penglihatan ku cahaya, jadikanlah di belakangku     dan dihadapan ku cahaya, dan jadikanlah di atasku cahaya.  Ya Allah, berikanlah kepadaku      Cahaya.


2. Doa apabila melangkah kaki kanan ke masjid :
 
      
Ertinya : 
   Dengan nama Allah dan salam ke atas utusan Allah, ampunilah dosa-dosaku dan                        bukakanlah    pintu-pintu Rahmat Engkau untukku.


3. Apabila melangkah kaki kiri keluar dari masjid baca doa :

      
     Ertinya : 
    Dengan nama Allah dan salam ke atas utusan Allah, Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan       bukakanlah pintu-pintu kelebihan Engkau untukku.


4. Adab dalam masjid : Apabila masuk ke masjid sebelum duduk hendaklah sempurnakan solat     sunat Tahiyatul Masjid dua rakaat, lafaz dan niatnya :

    
    Ertinya :
    Sahaja aku solat sunat tahiyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala

    Selesai solat, duduk iktikaf dalam masjid. Niatnya :

      
    Ertinya :
      Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini sunat kerana Allah Taala.

   Di waktu iktikaf, sebaik-baiknya diisi dengan membaca al-Quran, zikir, selawat ke atas Nabi,      doa, solat-solat sunat dan lain-lain.  Di dalam masjid hendaklah dielakkan dari                 perbuatan yang bersifat keduniaan seperti berbual-bual yang tiada faedah.

Ketika dalam Masjid...

Assalamu’alaikum.

Tiba-tiba saya teringat sewaktu saya menunaikan solat sunal Aidilfitri yang lepas.  Pagi raya selepas bersalam dengan beberapa orang jemaah perempuan.  Saya duduk di saf yang kedua.  Kemudian saya menunaikan solat sunat tahiyatul masjid (sementara masih ada masa).  Selepas selesai saya pindah ke saf depan kerana masih banyak lagi yang kosong.  Kita memang digalakkan untuk penuhi saf yang pertama.  Saya duduk sambil mendengar takbir raya.  Menghayati.  Rasa sebak sebab bukan selalu saya dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri ni.  Tahun lepas saya tak berkesempatan. 

Hmmm… mungkin dah sikap, atau lama tak jumpa atau tak tahu nak buat apa.. beberapa jemaah perempuan (ku kira bukan beberapa tapi majoriti) sedang rancak bercerita.  Dapat didengar dengan jelas lagi butir bicara mereka.  Ada yang bercerita pasal baju baru, kek lapis dan biskut raya, langsir, pasal kerja, kehidupan masing-masing tak kurang juga sempat lagi mengumpat orang lain.  Dalam hati mengucap panjang melihat karenah orang kita seperti itu.  Dalam masjid tu.  Sedangkan saya di ajar oleh ustazah dan ustaz serta menurut dari pembacaan saya sendiri dan juga ceramah agama…  seboleh-bolehnya elakkan berbual2 atau bercerita hal yang tidak berfaedah atau pun bersifat duniawi di dalam masjid.  Masjid merupakan tempat ibadat dan kita kena tau adab ketika berada didalam masjid.  Begitu juga ketika imam membacakan doa.  Tangan ditadah.. tapi mulut rancak bercerita sesama mereka. Tak bolehkah cuba untuk menghayati setiap baris doa yang keluar dari mulut imam tersebut.  Mungkin  tak faham bahasa Arab tapi imam tu kan ada juga menterjemahkan dalam bahasa melayu.   Begitu juga waktu bacaan khutbah selepas solat sunat aidilfitri, semakin rancak bercerita.  Seolah2 tak habis.  Dalam hati saya terfikir, apalah sebenarnya tujuan mereka ke masjid kalau sekadar untuk bercerita berkenaan hal duniawi seperti itu. Memang ya mereka menunaikan solat sunat tersebut tapi banyaknya dihabiskan bercerita.   Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.   Apa yang dapat saya katakan, umat Islam masih banyak lagi yang tidak mengetahui tentang adab2 ketika berada di dalam masjid.  Bukan masjid itu sahaja yang saya perhatikan, tapi tempat lain pun seperti itu.  Kelemahan ketara orang kita yang gagal atau sengaja untuk tidak mengetahui atau mempelajari sesuatu yang asas dalam Islam. Memang saya kecewa dengan sikap seperti itu.  Tapi, saya hanyalah hamba Allah yang lemah yang mengharapkan keampunan dari Allah s.w.t.  Wassalam.

(Mengingatkan ku kepada kata-kata Dr. Fatma Elzahra Muhamad Ramadan berkenaan sikap orang melayu ketika bacaan yasin apabila ada orang mati)


Pengertian Iman

Iman berasal daripada bahasa Arab yang bererti percaya.  Percaya adalah merupakan modal utama sebagai keyakinan mengenai apa yang dipercayainya.  Seseorang yang percaya hendaklah mempunyai pengetahuan dan keyakinan yang mantap.  Maksud beriman menurut agama Islam adalah taat dan patuh kepada Allah dengan melaksanakan perintah-perintahNya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Orang yang melaksanakan tentang ajaran yang tersebut di atas dinamakan “mukmin”.  Dalam hal ini perlu diketahui bahawa antara Islam dan Iman tidak boleh dipisahkan kerana apabila seseorang itu sudah memeluk Islam maka wajiblah dirinya untuk beriman.

Rukun Iman adalah perkara-perkara yang wajib dan mesti diyakini oleh orang yang beriman.

Rukun iman ada 6 perkara:

i)     Percaya kepada Allah

ii)    Percaya kepada Malaikat

iii)   Percaya kepada Rasul

iv)   Percaya kepada Kitab

v)    Percaya kepada Hari Kiamat

vi)   Percaya kepada Qada dan Qadar.

 

              (Petikan dari Asas Kefahaman Islam terbitan Jabatan Agama Islam Sarawak)

Antara Aqidah, Syari'at dan Akhlak

Untuk menjadi seorang muslim, tidak cukup kita sekadar percaya sahaja.  Ini adalah kerana Islam terdiri daripada aqidah, syari’at dan akhlak atau dengan kata lain kepercayaan dan amalan (tanggungjawab).  Kepercayaan tanpa amal disebut fasiq.  Tempat orang fasiq di akhirat nanti adalah neraka.   Sehubungan dengan ini Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Sajadah ayat 20 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang fasiq itu tempatnya di neraka”

Sebaliknya, beramal tanpa didasarkan pada kepercayaan dinamakan munafiq (orang yang berpura-pura).  Orang  munafiq juga tempatnya di dalam neraka.  Kenyataan ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang munafiq itu tempatnya di neraka yang paling bawah..”

                                                                               (Surah An-Nisa ayat 145)

Percaya dan amal, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.  Kedua-duanya mesti dilakukan serentak oleh setiap orang Islam.  Oleh sebab itu setiap orang yang mengaku dirinya muslim hendaklah :

a.       Mempercayai perkara-perkara yang mesti dipercayainya.  Asas kepercayaan ini ialah Rukun Iman.

b.       Mengamalkan segala suruhan syari’at sama ada dengan melakukan perkara yang diwajibkan atau meninggalkan perkara yang dilarang.

c.        Berakhlak dengan akhlak yang mulia dan menjauhkan diri daripada amalan yang buruk.

Inilah tugas setiap muslim setelah dia mengucapkan dua kahlimah syahadah di samping  tugas untuk sama-sama menyebarkan agama Islam yang suci ini kepada orang lain.

Kesimpulan.

Kefahaman terhadapa agama Islam amat perlu diberikan perhatian kerana melalui kefahaman inilah akan membantu kita untuk menjadi seorang muslim dan muslimah yang sejati.  Jika kita tidak mengambil berat tentang agama yang kita anuti tentu sia-sialah kehidupan kita selama ini.  Sedangkan kita merupakan antara makhluk yang paling istimewa dijadikan oleh Tuhan Pencipta seluruh alam ini, kenapa tidak dimanfaatkan dengan jalan yang betul.

                                            

                                   [Petikan dari : Asas Kefahaman Islam (Terbitan Jabatan Agama Islam Sarawak.)]

 

Hadis 3

Isnin, 12 Oktober 2009

Tudung

Semalam saya gi rumah saudara yang meninggal.  Adatlah lepas pengebumian ada 3 hari pantang lagi.  Sewaktu tengah makan-makan malam , tiba-tiba kawan saya ditegur (Kawan saya juga memeluk islam).  Dia berada dikampung sebab si mati tu pun ada pertalian darah dengan dia.  Saya yang turut mendengar teguran itu cukup terasa. 

“Aik?? Mana atap?”  Begitulah teguran lelaki tersebut dalam nada berkias.

“tak pe, hari tak hujan..” Jawab kawan saya tu.                                                     

“Owh.. bukan dah pasang atap ke.. atau atap dah diterbangkan ribut.” Tanya lelaki tu lagi.

‘Itulah, ribut kat Indonesia tu yang terbangkan.” Jawab dia lagi.  Dia masih tak memahami maksud kata lelaki itu.  tetamu yang lain ada yang mula senyum-senyum.  Lantas saya berbisik ke telinga kawan saya. “Na, dia maksudkan tu tudung.”.  muka kawan saya berubah sedikit bila saya terangkan kepada dia.

“Owh.. tak pe, nanti siang hari saya pakai, malam tak pa lah.” Jawab kawan saya tu.  Saya terkedu mendengar jawapan dia.  Kerana apa?? Kerana saya sendiri malam tu tak menggunakan tudung.  Terasa teguran tu dan jawapan kawan saya menusuk ke dalam hati.  Dah lah jawapan tu makin menampakkan kedaifan kami berdua.  Begitu senang mereka untuk menghentam kami yang masih lemah dalam menghadapi dugaan dan perjalanan hidup sebagai seorang muslim.  Memang saya akui, itu adalah kesilapan saya yang besar, yang sepatutnya dapat dielakkan.  

Semuanya mengingatkan saya balik pada peristiwa 4 tahun yang lampau.  Masa tu saya pergi rumah datuk saudara (kampung sebelah) yang meninggal.  Bukan nak riak, saya dulu cukup menjaga aurat.  Biarpun pada waktu malam saya tetap bertudung.  Hinggalah pada hari terakhir pantang, tiba-tiba ada 2 orang pemuda menyindir saya.

“aik.. takkan lah waktu malam pun nak bungkus kepala.  Cantik sangat ke rambut tu?? Tak de lah orang kat sini teringin sangat nak tengok rambut awak tu.”  Saya cuma menjeling pada mereka dan berlalu.  Tapi dalam hati saya sebak.  Mereka tak faham kah yang saya ni seorang muslim dan wajip tutup aurat.  Sejak itu saya tak pergi lagi rumah datuk saudara tu.  Biarlah janji tak de orang nak hina saya.  Tapi itu semua cerita dulu.

Mengenai tudung tu juga, seringkali dibuat perbandingan oleh kawan saya.  Saya akui saya banyak kawan dari kalangan non-muslim.  Jadi seringkali mereka membuat perbandingan antara saya dengan orang Islam yang memang Islam sejak dilahirkan.  Bukan tak suka kawan saya buat perbandingan seperti itu, tapi masalah nya saya sendiri pakai tudung kadangkala tidak.  Saya bukan seperti dulu lagi yang sangat mementingkan aurat.   Ya Allah… aku masih terlalu lemah untuk berdepan dengan ujian Mu..

Hadis 2

Hadis 1

Ahad, 11 Oktober 2009

Maaf...

Hmmm... sebenarnya saya pernah membenci seseorang atas sebab tertentu.  benci sangat sehingga tengok gambar dia pun saya marah.  tapi bila saya fikir balik, apa yang saya dapat jika terus seperti itu.  menambahkan dosa ada lah.  saya cuba bertenang dan memikir kebaikan dia yang pernah dia buat.  lagipun, jika kita tak berupaya untuk melepasi perkara yang lepas.. sampai bila pun kita tak akan melepasi.  betul tak?  dan kena ingat juga, manusia ni insan biasa, ada juga salah dan silapnya.. begitu juga saya ataupun dia atau pun anda.. kerana itu, bila saya fikir baik saya meminta maaf dari dia cepat2.. sebelum terlambat.. :) dan saya tahu dia akan maafkan saya.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Hidayah



Assalammu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh

Kerana terlalu banyak rakan-rakan saya ingin mengetahui kenapa saya boleh tertarik dengan Islam, jadi terdetik di hati saya untuk menulis di blog ini. Sebelum ini saya cuma menjawab kerana hidayah.  Memang betul pun kan, tapi ada di antara kawan saya ingin mengetahui secara terperinci.

‘Hidayah itu datangnya dari Allah s.w.t” tanpa diketahui dan diduga.  Sebenarnya saya sendiri tidak pernah menduga akan tertarik dengan agama Islam dan memeluk Islam.  Dulu saya adalah seorang penganut Kristian (Roman Catholic).  Semua adik beradik dan mak adalah penganut Kristian kecuali bapa saya tidak mempunyai agama.  Tetapi yang membezakan saya dengan mereka adalah saya tidak pernah dibaptiskan.  Saya sendiri yang tak nak.  Selalu juga mak suruh saya baptis tapi saya tak nak.  Tak tahu kenapa.  Masa itu saya belum terfikir pun pasal agama Islam ini.  Sepupu saya pun beragama Islam juga.  Saya ingat lagi, zaman kanak-kanak saya selalu ikut merekake kelas agama.  Saya ikut sebab mereka tu juga lah teman sepermainan saya.  kalau mereka pergi kelas tak delah teman saya bermain. 

Ketika saya menginjak ke tingkatan 2 (peristiwa ini memang segar di ingatan saya),  bukan tak pernah sebelum ini guru berhenti mengajar untuk menghormati azan.  Tapi petang itu, ketika kelas bahasa melayu (saya waktu tu belajar sesi petang), terdengar bunyi azan dari surau sekolah.  Seperti biasa kelas akan senyap sekejap.  Dalam keadaan senyap itu, hati saya terasa berdebar-debar.  Biarpun saya tak faham maksudnya tapi saya terasa sayu.  Sejak itu saya mula tertarik untuk mengenali Islam.  Saya mula membaca buku-buku berkaitan Islam di perpustakaan sekolah.  Saya lakukan secara senyap sehingga seorang pun rakan saya tak tahu.  Kami memang pergi perpustakaan beramai-ramai, buku rujukan tebal di tepi tapi sempat juga saya selitkan buku-buku berkaitan Islam.  Perasaan itu semakin menebal.  Apa sahaja berkaitan Islam memang akan mengamit perasaan saya.  Sikap ingin mengetahui begitu menebal.  Setiap pagi saya akan mendengar ceramah-ceramah berkaitan agama di radio Sarawak.  Mak saya memang tak kisah sebab dah setiap pagi itulah yang disiarkan di Radio Sarawak.  Sebelum ni pun dengar juga tapi tak tumpukan sangat.  Tapi bila perasaan dah minat tu ada, saya mendengar sambil menghayati. 

Saya tahu dalam Islam tu daging babi adalah haram.  Jadi sedaya upaya saya elakkan makan daging tu.  Sewaktu dalam tingkatan 3 saya mula lakukan perubahan.  Dulu daging tu menjadi kegemaran saya, gerenti licin sebab sedap kan.  Tapi sejak hati terpaut dengan Islam, saya kurangkan.  Bukan itu sahaja, di tingkatan 3 juga saya kurangkan pergi Church.  Ntah, jiwa saya tak de di situ pun sekalipun saya pergi.  Hati saya semakin memberontak.  Masuk tingkatan 4 saya bertekad untuk tidak menyentuh daging tu lagi.  Sekalipun saya terpaksa makan, cukuplah daging yang dalam tin tu.  Mak mula perasan dan bertanya.  Saya cuma menjawab babi tu banyak sangat bawa penyakit.  Kemudian bila mak bertanya kenapa saya tak pergi church, saya jawab saya tak suka sebab selalu sangat menyanyi.  Cukuplah saya sembahyang di rumah je.  Saya tahu mak saya tak puas hati dengan jawapan saya. 

Saya dapat melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 6, tapi sayang keputusan STPM saya tak seberapa.  Mungkin sebab sikap saya sendiri kot, malas ke kelas.  Saya kerap ponteng cuma nasib baik jer tak kena tindakan displin.  Waktu di tingkatan 6 saya mempunyai adik angkat.  Nama dia Dewi.  Saya membuat rancangan dengan dia untuk pergi ke Kapit selepas habis STPM kerana pakcik Dewi adalah Ustaz disana.  Selain dapat mencari kerja dapat juga saya belajar agama.  Tapi sayang perbualan saya dengan Dewi didengar oleh Mak.  Keesokkan harinya saya terus dihantar ke Bintulu untuk tinggal dengan kakak saya.  Saya terpaksa ikut kerana waktu tu saya masih dalam tangungan mereka.  Yelah umur saya waktu tu baru je 19 tahun.  Sekalipun saya tinggal dengan kakak saya tak pernah memadamkan hasrat saya untuk memeluk Islam.  Di Bintulu, saya bekerja di kedai peralatan dapur.  Di situ saya ada rakan sekerja muslim.  Saya cuba meminjam buku dari dia dan dia berikan buku berjudul Fardhu Ain.  Tak puas hati dengan meminjam buku orang, dapat gaji je saya terus beli buku sendiri.  Saya ingat lagi judul buku tersebut “Apa ertinya saya menganut Islam” tulisan Fathi Yakan.  Buku tu selalu saya simpan di bawah bantal tidur saya supaya abang saya tak perasan.  Tapi lama-lama dia tahu juga.  Dia diam jer tapi dalam diam dia, dia cakap dengan mak saya.  apalagi, teruk jugalah kena ceramah. 

Saya tak lama bekerja di kedai houseware tu kerana saya berhenti kerja dan meminta kerja di syarikat bas sebagai jurujual tiket.  Kat tempat kerja saya baru ni memang banyak kawan muslim.  Tapi bila saya ceritakan saya meminati Islam (dalam hati saya waktu tu dengan harapan mereka dapat menolong), mereka cuma mengatakan pada saya “Bagus tu masuk Islam,” Sebenarnya bukan tu yang saya nak.  Saya nak mereka membimbing dan memberi semangat kepada saya.  Ada juga kawan saya yang rajin bercerita tentang agama dengan saya, tapi dalam masa yang sama dia pun kuat minum, makan pil dan selalu mabuk.  Bila saya melihat keadaan tu, macam mana saya nak terima.  Dia cakap pasal dosa, halal dan haram tapi dia sendiri buat benda tu. 

Ramadhan menjelang dan tiba masanya umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke 3.  Saya pun turut berpuasa.   tapi tak delah penuh.  Setengah hari jer.  Saya tak tahan sebenarnya.  Tapi Alhamdulillah, lama-lama saya dapat juga berpuasa penuh.  Dalam pada itu saya lupa akan abang dan kakak saya yang mula tak senang duduk apabila melihat saya berpuasa.  segera hal ini diberitahu kepada mak saya.  Sekali lagi saya kena ceramah.  Lagi teruklah kali ini, sehingga saya menangis.  Pedih je rasa hati.  Tapi saya kuatkan hati.  Saat ini saya memang seorang.  Saya tak de rakan muslim yang rapat yang dapat menolong saya.  ada rakan muslim saya sama kerja, tapi tu lah seperti yang saya katakan tadi mereka cuma tahu mengatakan Islam itu bagus.  Untuk mempraktikan cara hidup Islam dalam kehidupan mereka memang susah untuk dilihat.  Saat itu saya betul-betul perlukan sokongan.  Lebih-lebih lagi saya didesak oleh keluarga saya sendiri yang mula tak senang duduk apabila tau saya berpuasa. 

Allah Maha Besar.  Ketika saya berperang dengan emosi, saya ditakdirkan berjumpa dengan seorang lelaki Indonesia.  Dia mula menegur saya.  dan saya masih ingat lagi, mustahil untuk saya lupa peristiwa tu.

‘Assalammu’alaikum, baca apa tu?”.  Tegur dia.  Ketika itu saya tengah membaca buku ‘Apa ertinya saya menganut Islam”.  Saya tersenyum dan menjawab. “Maaf, saya bukan muslim”.  Sambil itu saya ajukan buku yang saya baca kepada dia.  Dia belek-belek sambil tersenyum.  Kemudian dia hulur balik buku tu dan berkata “Owh”.  Cuma itu yang dia katakan.  Beberapa minit kemudian dia datang lagi dan bertanya “Awak minat Islam”  saya mengangguk.  Kemudian dia mengajak saya duduk di kerusi tempat penumpang menunggu.  Saya ikut je sebab kebetulan penumpang tak ramai waktu tu. 

“Kalau awak minat Islam, kenapa tak teruskan.  Sekarang bulan ramadhan.  Ambil keberkatan bulan ini.  Insya Allah saya boleh bantu.” Saya terkejut mendengar kata-kata yang keluar dari mulut orang yang baru saya kenal.  Sedangkan rakan-rakan saya sendiri tak pernah beri sokongan seperti itu kepada saya. 

“Nama saya Didik Zulferdy.  Awak boleh jadi adik angkat saya.  Saya dah berkahwin dan mempunyai anak.  Saya ikhlas nak bantu awak.  Ayah saya guru agama tempat saya di sana.” Saya mendengar jer kata dia.

“Saya tak lama lagi di Malaysia,  3 hari lagi saya akan balik Indonesia.  Sementara masih ada kesempatan ini, saya boleh ajar awak sikit-sikit”.  Mendengar kata tersebut saya terus memandang muka dia.  Terpancar keikhlasan di muka tersebut.  Dia mengangguk dan tersenyum.  Ya Allah, betapa terharunya saya saat itu.  orang yang baru saya kenal tak sampai sejam pun memberi sokongan kepada saya.  betapa cintanya dia pada Islam kerana berusaha untuk mengajar saya biarpun dalam tempoh yang singkat.  Sedangkan orang yang berada di tepi saya mempunyai waktu yang banyak tapi cuma pandai mengatakan “Islam itu bagus”.  Biarpun tak selalu dapat jumpa, sebab kadangkala saya sibuk juga, tapi dia bersabar menunggu.  Asalkan ada waktu terluang je, kami akan berbincang pasal agama.  Sekurang-kurang nya saya tahu pasal rukun Islam, rukun Iman dan juga sedikit tentang halal dan haram dalam Islam.  Rupanya banyak lagi yang saya tak tahu terutamanya berkaitan Fardhu ain.  Kemudian dia mengajarku mengucapkah kahlimah syahadah.  Penting untuk masuk Islam nanti kata nya.  Berkali-kali juga saya belajar menyebut akhirnya dapat.  Sebelum dia balik Indonesia dia mengingatkan saya sekali lagi. “ Kalau awak betul-betul minat Islam.  Teruskan niat awak tu.  Jangan takut Allah akan bersama awak.  Sekarang ni bulan ramadhan.  Ambil keberkatan bulan ini.  Jangan lengahkan.  Insya Allah, bila saya balik Indonesia nanti, saya akan titipkan buku agama untuk awak. Sebab lepas raya nanti ada kawan saya yang akan ke Sarawak.  Nanti saya suruh dia jumpa awak.”

Sebenarnya saya sangat terharu dan bersyukur ditemukan dengan Didik Zulferdy biarpun cuma untuk 3 hari.  Dia menyebabkan semangat saya untuk memeluk Islam kian kuat.  Malam itu juga saya bertekad untuk memeluk Islam dalam bulan tu juga.  Saya memohon cuti dari majikan untuk balik kampung.  Majikan benarkan saya balik selama 2 hari jer.  Saya balik sebab nak mohon restu dari mak saya.  Lamanya menanti hari esok. Penantian – coretan yang saya tulis ketika itu).  19hb saya balik kampung.  Saya tau mak pun dah tau niat saya.  Biarpun dia dah tau saya tetap kata kan pada dia sekali lagi.  Sepatah kata pun tak keluar dari mulut dia.  Saya kecewa.  Saya tahu dia marah dan kecewa.  Ibu manalah tak marah kalau anak dia berpaling agama.  Saya dah hilang cara untuk memujuk mak.  Saya menulis surat untuk mak.  Saya suruh dia baca sebab saya dah tekad dah dalam hati.  Selepas baca pun dia masih diam.  Pendek kata, sepatah pun dia tak bercakap pasal keinginan saya tu.  Dia cuma cakap dengan saya pasal hal lain.  Saya kecewa.  Apa yang saya harapkan tak dapat.  Cuti saya pula dah abis dan besok saya terpaksa balik ke bintulu lagi.

20 November 2001, sewaktu saya nak naik bas. Tiba-tiba” Na, mak izinkan kau masuk Islam, tapi ingat, mak tak akan sekali-kali restukan”. Saya sangat terkejut.  Saya tak kisah dia restu ke tak, yang penting dia izinkan.  Jika dia izinkan, halangan 2 orang yang dekat bintulu tu (abang dan kakak saya) dapat saya lepasi.  Sebab jika mak dah izinkan, mereka tak dapat berbuat apa-apa.  Terima kasih Mak.  Saya tahu dia kecewa, sedih dan marah.  Tapi saya memang anak dia yang degil.  Jika dia tak izinkan pun saya dah bersedia sebab saya dah bertekad akan berdepan dengan apa jua yang mendatang.  Sepanjang perjalanan ke bintulu, saya menangis sendirian, kadangkala saya ketawa kecil.. kadangkala tersenyum.  Jika ada penumpang kat tepi saya pasti saya dianggap sewel waktu tu.  Sampai je kat Bintulu saya cakap dengan kakak dan abang saya yang saya akan masuk Islam besok.  Saya juga cakap dengan mereka yang mak dah izinkan.  Kakak saya terdiam.  Abang saya pun sama.  Abang ipar saya mengingatkan saya “Fikir masak-masak.  Jangan ikut perasaan”.  Saya diam jer.  Kerana saya tahu saya pilih jalan yang betul.  Saya teringat dengan abang angkat saya, Didik.  Saya menangis sekali lagi.  Kalau lah dia ada waktu ini untuk berkongsi kegembiraan dengan saya.

Nak tak nak, besok paginya abang ipar saya hantar saya gi Pejabat Agama Islam.  Itu pun dia tak hantar depan pejabat, dia hantar tepi jalan jer.  Berjalan kakilah saya masuk situ.  Tak pe lah.  Saya pun faham mereka kurang senang dengan tindakan saya.  Sebenarnya saya tak tahu apa-apa prosedur pun nak masuk Islam.  Cuma saya bawa gambar berukuran passport.  Tu pun kakak saya yang suruh.  (dalam tak setuju dia, nak juga tolong).   Saya pergi seorang jer dan membuatkan pegawai dan kerani di situ terkejut.  Saya tak buat temujanji pun dulu.  Dah lah tu saya tak bawa saksi seorang dan juga tak bertudung.  Ya Allah, memang saya tak tahu apa-apapun sebab apa yang saya buat ni datang secara mendadak.  Rupanya perlu ada seorang saksi beragama Islam.  Pegawai tersebut, ustaz Shamsudin Bin Bashirmengatakan tak apa sebab ada pegawai yang lain dapat dijadikan saksi.  Di depan Ustaz Shamsudin Bin Bashir dan disaksikan seorang pegawai.. “Asyhadu alla Ilaaha Illallah wa Asyhadu anna muhammadur Rasulullah” saya ucapkan.  Syukur Alhamdulillah.  Sebutan pun lancar.  Terima kasih Didik kerana mengajar saya.  Terasa ingin menangis tapi perasaan sebak terpaksa saya tahan.  Saya tak biasa menangis depan orang.  Tanggal 21 November 2001 saya sah memeluk Islam.  Bermula kehidupan saya sebagai seorang saudara Islam yang baru.  Saya kira perjalanan saya lebih mudah selepas itu, rupanya semakin sukar.  Bukan kita ini manusia jika kita tidak diuji.  Setiap yang Dia uji kan pada kita pasti ada hikmah disebaliknya.  “Ya Allah, Engkau tabahkan lah diriku dalam meniti kehidupan ini.  Aku pernah keliru dalam ku mencari arah kehidupan ini.  Aku pernah termakan hasutan syaitan durjana.  Bahkan aku pernah membenci kehidupan aku sekarang.  Engkau ampunkan aku Ya Allah.  Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam hatiku.”